KUALA LUMPUR: Jemputan negara luar kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diteliti dengan berhati-hati bagi mengelak Malaysia terjerumus dalam geopolitik yang kompleks.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana Malaysia merupakan negara yang berkecuali jadi perlu berhati-hati dalam menerima jemputan supaya tidak dilihat menyelebahi mana-mana negara.
Kata beliau, keadaan geopolitik yang tidak menentu menyebabkan kehadiran atau lawatan Perdana Menteri perlu dirancang dengan baik walaupun mempunyai hubungan baik dengan negara tertentu.
“Banyak jemputan kita terima tetapi kita perlu berhati-hati untuk memposisikan negara kita ini kerana lawatan Perdana Menteri atau saya selaku Menteri Luar sebagai suatu yang dianggap sebagai pengiktirafan kepada kita punya hubungan dengan luar negara.
“Nasihat Kementerian Luar kepada Perdana Menteri adalah supaya kita meneliti setiap satu jemputan tersebut dengan berhati-hati kerana kita tidak mahu terjerumus dengan politik dunia yang lebih kompleks dan memberi masalah kepada hubungan kita dengan negara-negara lain,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang bertanya bila Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Russia.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Russia, China dengan negara-negara lain.
Jelasnya, Malaysia tidak boleh dilihat sebagai sebuah negara yang condong kepada mana-mana pihak ekoran merupakan sebuah negara dan ekonomi perdagangan.
“Kita mahu bersahabat dengan semua orang. Jadi ini merupakan asas dasar luar negara kita iaitu bukan diplomatik biasa sahaja tetapi diplomatik perdagangan.
“Yang mana perdagangan menjadi keutamaan kami, kita sentiasa melihat potensi-potensi kawasan yang kita mempunyai ruang untuk perluas dan pertingkatkan perdagangan,” jelasnya.- UTUSAN










