KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bakal mengumumkan hala tuju transformasi Sistem Pembiayaan Kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pengumuman tersebut mengambil kira situasi makro fiskal semasa negara dan kebolehlaksanaan serta politik.
Dalam pada itu, kata beliau, bagi meneruskan agenda transformasi sistem kesihatan negara, KKM telah menubuhkan Pejabat Transformasi Kesihatan (HTO) untuk memacu pelaksanaan transformasi sistem kesihatan berlandaskan Kertas Putih Kesihatan.
“Buat masa ini, HTO sedang meneliti dan memperincikan pelaksanaan transformasi sistem kesihatan untuk jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai progres implementasi Kertas Putih Reformasi Kesihatan.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, terdapat juga inisiatif yang bersifat ‘quick win’ yang sedang dan boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Segala perancangan yang melibatkan keperluan pembangunan dasar khusus atau akta akan diangkat sebagai Memorandum Jemaah Menteri secara berasingan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif transformasi melalui tatacara yang sewajarnya,” jelasnya.
Beliau berkata, sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan yang terdiri daripada golongan profesional dengan kepakaran dan pengalaman luas dari pelbagai sektor, juga sedang giat dijalankan.
Jelasnya, ia bagi memastikan pelaksanaan tranformasi sistem kesihatan bersifat inklusif dan menyeluruh.
“Antara fokus transformasi sistem kesihatan, yang merangkumi sektor awam dan swasta sedang diperincikan oleh HTO adalah berkaitan pembiayaan sistem kesihatan, penjagaan kesihatan primer, pencegahan dan promosi kesihatan.
“Selain it, mengenai pendigitalan kesihatan, polisi dan inisiatif yang berkait dengan faktor penentu sosial untuk kesihatan, serta sumber manusia untuk kesihatan dan tadbir urus,” katanya.- UTUSAN










