KUALA LUMPUR: Pengguguran pelaburan BlackRock akan mendatangkan implikasi dan kesan negatif kepada usaha kerajaan untuk merealisasikan agenda pelaburan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BlackRock merupakan pengurus aset terbesar di dunia dan setakat 31 Mac lalu, set di bawah pengurusan (AUM) syarikat tersebut bernilai 10.5 trilion dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu bersamaan RM49.35 trilion.
Menurut beliau, syarikat tersebut memegang saham dalam hampir semua syarikat tersenarai awam di seluruh dunia dan dana-dana berdaulat bagi negara seperti Saudi Arabia, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Bahrain dan Indonesia.
“BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi sektor industri, dengan tiga entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini.
“Secara keseluruhan mereka memiliki aset bernilai sekitar RM27.5 bilion di Malaysia iaitu RM20.5 bilion dalam pasaran saham di Bursa Malaysia; dan sekitar RM7.0 bilion dalam Bon kerajaan dan Korporat di Malaysia,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung jumlah pelaburan oleh BlackRock atau syarikat yang berkaitan dengannya di Malaysia, dan impak kepada ekonomi negara sekiranya semua pelaburan BlackRock yang berpuluh-puluh tahun ini digugurkan.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, BlackRock juga merupakan pemegang saham bagi beberapa syarikat multinasional besar yang beroperasi di negara ini termasuk Microsoft, Boeing, Intel dan Texas Instruments.
Jelasnya, syarikat-syarikat yang mempunyai pemilikan saham oleh BlackRock ini menyumbang kepada pembangunan industri dan negeri melalui projek pelaburan yang dijalankan di Malaysia.
“Ini termasuk Intel yang menyumbang kepada pertumbuhan sub-sektor semikonduktor di Pulau Pinang; Infineon di Melaka dan Kedah, Texas Instruments dalam industri elektrikal & elektronik di Melaka dan Kuala Lumpur dan subsidiari Boeing, iaitu Aerospace Composites Malaysia Sdn. Bhd. (ACM) dalam industri aeroangkasa di Kedah.
“Microsoft yang baru-baru ini mengumumkan pelaburan pula akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur pusat data di lokasi baharu yang akan ditentukan kemudian,” jelasnya.- UTUSAN











