KUALA KANGSAR: Sebanyak 11 keluarga Orang Asli di Ulu Bekor dekat sini, diraikan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha serta menerima daging korban dalam program di kampung mereka, semalam.
Seekor lembu ditumbangkan sebelum diagihkan kepada keluarga terbabit seramai 34 orang daripada suku kaum Semai.
Pengendali aktiviti, Muhamad Fahmi Md. Noor berkata, objektif program adalah bagi memberi pengalaman kepada masyarakat Orang Asli beragama Islam di Ulu Bekor untuk mengikuti proses pelaksanaan ibadah korban.
“Pada masa sama, ini sebagai usaha dakwah bahawa amalan memberi orang makan adalah antara amalan beragama yang dituntut dalam Islam merentasi perbezaan agama, adat kepercayaan dan bangsa.
“Saya sendiri mengahwini salah seorang mualaf di Ulu Bekor. Isteri sekarang sebagai seorang guru sekolah. Saya sedang memulakan inisiatif mendirikan syiar Islam di bumi Ulu Bekor yang mana kampung ini mula diduduki sekitar tahun 1912,” katanya.
Menurut Muhamad Fahmi, masyarakat Islam Orang Asli di Ulu Bekor adalah kelompok minoriti iaitu 34 orang daripada sekitar 900 penduduk.
Kata Muhamad Fahmi, pelaksanaan program itu turut dibantu Masjid Al-Suyah Kampung Bekor.
“Jumlah daging diperoleh sekitar 100 kilogram. Setiap keluarga mualaf Orang Asli Ulu Bekor daripada semua 11 keluarga diberikan empat kilogram daging mentah dan sekilo tulang,” katanya
Katanya, baki daging selebihnya digunakan untuk masakan jamuan kenduri kepada penduduk kampung. – UTUSAN










