SUNGAI PETANI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus mempergiatkan usaha mencari dan melahirkan bakat pelapis acara sukan terjun di seluruh negara.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ini berikutan acara sukan tersebut antara sukan yang paling banyak menyumbang pingat kepada negara di temasya antarabangsa.
Bagaimanapun, menurut beliau, ke arah usaha tersebut kementerian mengadakan lawatan ke Perlis dan Kedah yang mendapati ramai kanak-kanak yang berminat tetapi tiada fasiliti untuk melatih mereka.
“Apa yang kita perlu wujudkan adalah kesinambungan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) Persekutuan dan MSN negeri bagi memastikan setiap negeri itu melaburkan duit dalam bidang sukan.
“Pelaburan tersebut antaranya untuk melantik jurulatih sukan yang bertauliah serta menyediakan fasiliti lengkap untuk latihan bagi sukan tersebut,” kata beliau selepas merasmikan Program Akreditasi Sukan Renang dan Keselamatan Air di Kelab Sungai Petani, di sini, hari ini.
Kata Hannah, setakat ini hanya dua negeri yang konsisten membelanjakan duit untuk melantik jurulatih bagi melahirkan bakat baharu dalam acara sukan terjun iaitu Sabah dan Sarawak.
“Jika setiap negeri memberi alasan tidak ada bajet, maka banyak acara sukan yang tidak disertai lagi pada masa depan dan pelan pembangunan bakat kita akan terjejas,” ujarnya.- UTUSAN









