PUTRAJAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Dana Peladang Kebangsaan (DPK) sebanyak sembilan peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi tempoh sama, DPK mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM16.2 juta dengan keseluruhan agihan dividen dan bonus sebanyak RM12.2 juta, manakala peratusan agihan ialah 76 peratus daripada keuntungan bersih.
Menurutnya, kadar dividen berkenaan melibatkan enam peratus dividen dan tiga peratus bonus untuk pelaburan RM50,000 pertama.
“(Kadar) dividen (yang diumumkan) ini lebih tinggi daripada badan-badan lain misalnya EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan kita harap NAFAS akan terus meningkatkan prestasi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Dividen SPKP Dana Peladang Kebangsaan Tahun 2023 di sini hari ini.
Pada majlis sama, turut diumumkan satu peratus hibah untuk Akaun Simpanan Biasa Al-Wadiah DPK dengan jumlah keseluruhan komitmen bayaran sebanyak RM12.2 juta.
Sementara itu, menerusi ucapannya, Mohamad berkata, sehingga kini, jumlah aset DPK telah mencapai RM288 juta menerusi pelaburan dalam pelbagai sektor kewangan sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pelaburan DPK serta keupayaan untuk memberikan pulangan stabil kepada semua pelabur.
Selain itu, katanya, prestasi kewangan DPK menunjukkan peningkatan yang konsisten setiap tahun dengan keuntungan bersih yang stabil dan agihan dividen serta bonus yang kompetitif.
“Bagaimanapun terdapat beberapa aspek yang perlu ditambah baik untuk memastikan DPK terus relevan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.
“DPK perlu mengoptimumkan pengurusan tunai untuk menjana pulangan yang lebih kompetitif serta
mengurangkan peratusan NPF. Ini boleh dicapai melalui latihan dan bengkel kepada kakitangan mengenai pengurusan kewangan yang baik serta pengenalan mekanisme pengurusan tunai yang canggih,” katanya.
Tambahnya lagi, DPK juga perlu memperkenalkan program pendidikan kewangan yang mudah difahami dan interaktif untuk meningkatkan pengetahuan kewangan di kalangan golongan muda.
“Ini kerana berdasarkan profil keahlian, didapati majoriti pelabur adalah dari kalangan usia yang lebih tua (60 tahun ke atas), manakala golongan muda (18-40 tahun) dan pertengahan (41-59 tahun) kurang terlibat dalam pelaburan.
“Ketidakseimbangan ini menunjukkan kurangnya daya tarikan pelaburan DPK kepada golongan muda dan pertengahan yang sepatutnya menjadi fokus untuk pertumbuhan masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










