KAJANG : Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof secara rasminya menjawat jawatan Ketua Polis Daerah (KPD) Kajang bermula hari ini.
Pelantikan Naazron bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, yang kini menjawat jawatan Ketua Jabatan Pengurusan, Polis Kontinjen Selangor.
Majlis Serah Terima Tugas, Jawatan Ketua Polis Daerah Kajang, disaksikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.
Hussien menyifatkan pelantikan Naazron akan memberi kelebihan kepada warga IPD Kajang.
“Ini kerana beliau mempunyai pengalaman luas selain sifat kepimpinan yang dimilikinya.
“Beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan Timbalan KPD Kuching, Sarawak dan Timbalan KPD Dang Wangi, Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kajang (IPD).
Hussein berkata, selaku Ketua Polis Selangor, beliau tidak akan berasa ragu-ragu dengan Naazron dan yakin akan terus membawa IPD Kajang ke tahap kejayaan yang lebih membanggakan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Mohd. Zaid atas pengorbanannya selama empat tahun sepanjang menerajui Kajang sejak April 2020.
“Diharap beliau dapat meneruskan khidmat cemerlangnya semasa berada di Kontinjen Selangor,” jelasnya. – UTUSAN










