BALING: Setelah enam hari tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, pelatih Kenari Kids, Muhammad Hazran Aime Helme, 15, akhirnya meninggal dunia, semalam.
Mangsa berasal dari Kampung Sadik, Kupang, terlibat kemalangan jalan raya pada Ahad lalu berhampiran Sekolah Agama Yayasan Khairiah, Kampung Pisang, di sini.
Kakak mangsa, Nor Nazira, 24, berkata, adik bongsu daripada tiga beradik yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, merupakan seorang pemain bola sepak sekolah dan pelatih Kenari Kids.
Katanya, ketika kejadian Muhammad Hazran dalam perjalanan ke sekolah untuk latihan bola sepak selepas membantu menyediakan makanan di tempat kenduri.
“Selepas adik keluar, kami dikejutkan dengan berita kemalangan yang menimpanya sehingga menyebabkannya koma selama enam hari ketika dirawat di HSAH,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, dia cuba mencari saksi atau pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu selepas diberitahu adiknya dilanggar lari.
“Saya mohon mereka tampiL. Kami juga cuba mencari bukti melalui CCTV yang mungkin ada di tempat kejadian. Kami tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Jika ada yang merakam kejadian itu, harap dapat bantu kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kemalangan berlaku pada pukul 5.35 petang apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai terbabas sendiri. – UTUSAN










