BALING: Dua lelaki maut setelah kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik berhampiran Kampung Sadek di sini malam semalam.
Dalam kejadian pukul 9.45 malam itu, mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Mustaqim Muhd. Termizi, 19, yang merupakan pemandu serta Aminujad Amin Zuha, 19.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, pemandu kenderaan terbabit mati di tempat kejadian manakala penumpangnya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Baling, kira-kira pukul 10 pagi ini.
“Hasil siasatan mendapati, Perodua Viva yang membawa dua penumpang termasuk salah seorang yang maut dari arah Batu Kawan, Pulau Pinang menghala ke Kampung Tiak, Kupang.
“Toyota Vellfire dipandu lelaki berusia 47 tahun bersama isteri, ibu dan dua anak mereka pula dari arah Kupang menghala ke Tawar, siasatan masih dilakukan untuk mengetahui punca kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










