Rupanya ramai kalangan rakan industri yang bercakap mengenai kerenah pengurus kepada pelakon Mimi Lana ini. Dia juga yang menjaga beberapa artis bernama besar dalam industri. Siapa yang tahu, tahulah.
Hendak dijadikan cerita, baru-baru ini ada satu acara hiburan iaitu sesi tayangan perdana filem The Expert di ibu negara. Jadi, tentulah kehadiran pihak media juga ada untuk temu bual artis dan juga membuat rebiu filem.
Tetapi sudah nama pun dapat peluang menemu bual pelakon terbabit, tentulah tidak semestinya kita cuma bertanya mengenai filem. Kadangkala akan bertanya juga mengenai isu semasa. Lihat pada keadaan orang kata.
Kebetulan, sekitar minggu itu sedang kecoh mengenai isu blockout 2024 melibatkan nama-nama selebriti tempatan. Jadi, pertanyaan itu dilayangkan kepada Mimi Lana untuk melihat apa pandangannya mengenai isu tersebut.
Mimi okey sahaja. Menjawab lancar segala pertanyaan diajukan. Tetapi, tiba-tiba, si pengurus pula mencelah dan bersuara, meminta pihak media berhenti tanya mengenai soalan itu kerana kononnya ia tidak membantu mempromosi filem.
Maaf ya, Cik Bunga cadang, pengurus itu boleh berhenti buat perangai begitu jika tidak mahu artisnya dipandang serong. Bukan apa, boleh jadi, kerana pengurus yang buat perangai, nama artis pula yang busuk.
Walhal, si artis okey sahaja dan tiada masalah untuk beri kerjasama. Maaf cakap juga, jika rakan media tidak tanya pasal peribadi atau soalan lain selain filem pun, setakat ini, setahu Cik
Bunga, The Expert pun tidak raih banyak sangat kutipan. Malah khabarnya banyak dapat respons kurang memuaskan daripada penonton.
Jadi di sini, tidak wajarlah si pengurus itu cakap begitu.
Pada Cik Bunga. Biadab. Bukan keterlaluan pun soalan yang diajukan. Nasihat Cik Bunga kepada pengurus, jangan terlalu angkuh. Cik Bunga dan ramai tahu awak sedang berada di atas sekarang. Tetapi, ingat, semua pun hanyalah pinjaman-Nya. Sama-samalah kita permudahkan urusan orang lain. Tak begitu?









