PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoal tindakan kerajaan menjual 30 peratus saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) jika syarikat pengendali lapangan terbang itu mencatatkan keuntungan.
Menurut beliau, MAHB mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta pada tahun lalu.
“Apabila saya dengar syarikat MAHB akan menjual sahamnya kepada firma Amerika Syarikat (AS), sangkaan saya ialah MAHB rugi.
“Sekarang saya dapat tahu MAHB untung sebanyak RM543 juta bagi tahun 2023. Tidak banyak syarikat yang dapat untung seperti ini. Kenapa mahu jual 30 peratus kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada Mei lalu, media tempatan melaporkan, Gateway Development Alliance dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham.
Konsortium tersebut diterajui Khazanah Nasional Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Berhad (UEMG) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta dianggotai anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP).
Bagaimanapun, isu berhubung pemilikan saham membabitkan syarikat berkaitan Zionis mula timbul kerana GIP sedang dalam proses diambil alih oleh sebuah firma pelaburan gergasi Blackrock yang didakwa pro-Israel.
Dr. Mahathir berkata, beliau bimbang tindakan menjual saham MAHB kepada syarikat tersebut mempunyai agenda tersendiri. – UTUSAN









