Mengaku tak bersalah anggotai kumpulan jenayah terancang

Mengaku tak bersalah anggotai kumpulan jenayah terancang

JAGANDRAN (kiri) mengaku tidak bersalah atas dakwaan menganggotai kumpulan jenayah terancang, Geng Chandra Ketika dihadapkan di Mahkamah George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang pekerja arang batu mengaku tidak bersalah atas dakwaan menganggotai satu kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Chandra’ ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, B. Jagandran, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menjadi anggota kumpulan tersebut yang menyalahi undang-undang antara Januari 2016 hingga 18 Jun yang lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini manakala tertuduh hadir diwakili peguam, K. Mahendran.

Terdahulu, ketika sesi prosiding, Darrshini memohon kepada mahkamah agar wang jaminan sebanyak RM4,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Mahendran merayu supaya jumlah tersebut dikurangkan kerana anak guamnya yang masih bujang itu kini tidak bekerja dan menghidap beberapa penyakit berbahaya termasuk jantung.

Nadratun Naim kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN