MELAKA: Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung menyaksikan tiga acara besar yang berlangsung serentak di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tiga acara yang berjalan serentak adalah Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor,Pameran Hang Tuah dan Malaysia Bike Week Melaka (MBWM) 2024.
Menurutnya, antara yang menjadi perhatian pengunjung dan pelancong adalah pameran 37 koleksi Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor untuk tatapan umum bermula dari Jumaat sehingga Selasa ini.
“Pameran Hang Tuah juga turut menjadi perhatian pengunjung berdasarkan penemuan-penemuan baharu kehebatan Hang Tuah dipamerkan dalam bentuk ilmiah dan akademik.
“Rakyat Melaka perlu datang ke sini agar mereka dapat menilai bahawa kehebatan Hang Tuah satu legenda yang perlu diteroka keperibadiannya serta kemampuannya menjadi seorang diplomat cukup hebat pada kurun ke-15,” katanya kepada pemberita selepas perasmian ketiga-tiga acara tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam di sini hari ini.
Ab. Rauf berkata, pameran Hang Tuah akan berlangsung selama sebulan sehingga 7 Julai sementara Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor pula sehingga Selasa, manakala MBWM pula sehingga esok.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan tiga acara besar ini sempena TMM2024 kita dijangka dapat mencapai sasaran awal kehadiran 5.7 juta pelancong datang ke Melaka dalam tempoh enam bulan pertama,” ujarnya.
Sejurus selepas itu beliau merasmikan Festival Silat dan Keris Warisan Nusantara sempena pameran Hang Tuah.
Sebanyak sembilan jenis keris dipamerkan seperti Keris Bugis, Keris Semenanjung, Keris Malela, Keris Palembang dan senjata-senjata Melayu antik yang lain.









