KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia platform media sosial menurunkan sebanyak 308 kandungan lucah dan 838 berunsur pelacuran di pelbagai platform media sosial, termasuk platform X dan Telegram.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penurunan kandungan itu dibuat antara 1 Januari hingga 1 Jun lalu yang melanggar piawaian komuniti pihak penyedia platform serta undang-undang sedia ada.
Katanya, bagi tempoh sama, MCMC menyekat 549 laman lucah dan 69 laman pelacuran.
“Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak tujuh kes masih di bawah siasatan MCMC melibatkan kandungan lucah. Tindakan ini diteruskan oleh MCMC dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa dan orang awam.
“Sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial juga giat dijalankan bagi mengukuhkan komitmen dan kerjasama bagi memastikan keberkesanan inisiatif pemantauan dan pengawalan kandungan yang memudaratkan dalam platform media sosial.
“Dalam hal ini, Menteri Komunikasi akan mengadakan pertemuan dengan semua penyedia platform media sosial pada Julai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) yang meminta menyatakan perancangan kerajaan bagi membanteras budaya Dark Side dan tindakan yang akan diambil oleh kementerian terhadap pengendali akaun yang menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian seperti platform X dan Telegram. – UTUSAN










