PETALING JAYA: Masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi berhubung suspek sebenar pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Peguam Mahmud Abdul Jumaat berkata, walaupun penahanan ibu bapa kepada kanak-kanak berusia enam tahun itu mengejutkan semua pihak, namun penahanan mereka adalah untuk membantu siasatan polis.
Beliau sebagai peguam mewakili pasangan suami isteri turut menyifatkan kes ini sebagai satu kes yang berat yang pernah pihaknya wakili selain daripada kes penderaan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.
“Selepas kes Bella, kes ini adalah antara kes yang berat untuk kami bawa. Apatah lagi mereka mempunyai satu persamaan iaitu anak syurga, orang kurang upaya (OKU).
“Bezanya anak syurga ini sudah tidak bernyawa lagi dan pihak ibu bapa Zayn Rayyan pula menjadi orang yang disyaki bagi kes ini. Sangat mengejutkan,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebooknya hari ini.
Tambah beliau, masih terlalu awal untuk mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi berhubung itu walaupun polis menahan ibu bapa mangsa, semalam sebelum mereka direman tujuh hari bermula hari ini.
“Saya hanya boleh katakan bahawa terlalu awal untuk kita membuat sebarang spekulasi dan kita seharusnya memberikan polis ruang seluasnya untuk memastikan keadilan memihak kepada Zayn Rayyan.
“Apabila berjumpa nenek dan keluarga arwah sebentar tadi, hati saya terusik kerana seluruh ahli keluarga sangat menyayangi arwah. Semoga keluarga Zayn Rayyan tabah dan kuat mengharungi ujian ini,” katanya. – UTUSAN










