Malaysia, Turkiye dan Pakistan senada isu Palestin

Malaysia, Turkiye dan Pakistan senada isu Palestin

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bersama Turkiye dan Pakistan senada dalam isu Palestin yang  mahu penjajahan dan pendudukan Israel di wilayah Palestin ditamatkan. 

Perkara tersebut  disuarakan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan dan Perdana Menteri Pakistan,  Shehbaz Sharif menerusi dua panggilan telefon berasingan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menerusi panggilan bersama Recep Tayyip, Anwar berkata, kedua-duanya senada untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan khususnya di Gaza malah Presiden Turkiye itu turut berkongsikan pengalaman dalam menyatakan kebimbangan serta protes kepada pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin  dalam Sidang Kemuncak G7 di Itali yang dihadirinya baru-baru ini.

Kata Anwar, menerusi panggilan itu juga digunakan beliau dan Recep Tayyip untuk mengulangi komitmen dalam mengukuhkan kerjasama dalam pertahanan, ekonomi, budaya, perdagangan, pelaburan antara kedua-dua negara

“Saya sempat mengulangi jemputan kepada Presiden Erdogan untuk melawat Malaysia pada Julai atau Ogos tahun ini dan memberi jaminan lawatan ini akan menjadi lebih bermakna kerana ia seiring ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Türkiye pada 17 Jun 1964 serta Perkongsian Strategik 10 Tahun antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau memuji peranan Shehbaz di atas keberanian beliau menjelaskan kedudukan Pakistan berkaitan kemelut di Gaza.

“Menerusi perbualan telefon ini, kami juga sepakat untuk terus menyatakan solidariti kepada penduduk Gaza yang terkesan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel.

“Seharusnya pemimpin Islam negara lain perlu terus mengukuhkan sokongan dalam meningkatkan bantuan kemanusiaan selain menggandakan usaha menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza,” katanya.

Anwar berkata, beliau dan rakan sejawatnya itu turut merancang untuk bertemu di Islamabad dalam masa terdekat agar hubungan kedua-dua negara dapat terus diperkukuhkan.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, telah menerima sepucuk surat daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mengutuskan ucapan Aidiladha kepada beliau dan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, beliau dan Modi senada berpendapat, keamanan dunia bergantung kepada nilai kebersamaan antara satu sama lain sambil menerapkan prinsip kemanusiaan, ihsan serta pengorbanan dalam membina sebuah negara maju.

“Saya juga bersetuju dengan Perdana Menteri Modi yang menyentuh aspek budaya dan warisan turun temurun dalam menghormati satu sama lain perlu terus dijulang dan diraikan di seluruh pelusuk dunia ketika meraikan hari mulia ini.

“Mendoakan agar Modi terus diberikan kesihatan yang baik selain hubungan Malaysia dan India terus diperkukuhkan demi manfaat bersama,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN