Malaysia sedia sertai BRICS

Malaysia sedia sertai BRICS

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia sedang memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan iaitu BRICS  (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya telah mengambil langkah ke arah dan kini menunggu maklum balas seterusnya.

“Kami telah mengambil keputusan yang sewajarnya. Kami akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi. 

“Sekarang kami menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan,” kata Perdana Menteri dalam temu bual bersama Guancha, syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China selepas ditanya mengenai perkara itu oleh pengasas media itu, Eric Xun Li baru-baru ini

BRICS ialah kumpulan ekonomi sedang pesat membangun membabitkan Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Anwar berkata, sebelum ini beliau telah mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Menurutnya, Malaysia lega dunia tidak lagi unipolar (sistem tadbir urus global dikuasai sebuah negara berkuasa penuh tanpa boleh dicabar) dan kebangkitan BRICS dan China khususnya telah menawarkan harapan bahawa wujudnya semak dan imbang.

Perdana Menteri berkata, Barat mahu mengawal wacana di dunia, tetapi kita tidak lagi boleh menerimanya kerana mereka bukan lagi kuasa penjajah dan negara-negara merdeka harus bebas untuk menyerlahkan diri mereka.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan kemudian menyertai kumpulan itu pada 2010.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN