PUTRAJAYA: Malaysia dijangka kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang jurutera khususnya industri elektrik dan elektronik (E&E) untuk memenuhi keperluan industri strategik serta berimpak tinggi menjelang 2030.
Industri E&E menyaksikan evolusi perubahan teknologi yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan kelulusan sekurang-kurangnya di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Jurutera) bagi melaksanakan pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) melibatkan reka bentuk serta fabrikasi komponen bernilai tinggi.
Berdasarkan kajian Analisis Permintaan Dinamik, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), peluang pekerjaan tenaga mahir sektor E&E menunjukkan purata sebanyak 8,500 kekosongan dan 2,040 pewujudan jawatan baharu setahun bagi tempoh 2018 hingga 2023.
Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, Malaysia dilihat memerlukan sekurang-kurangnya 7,200 sehingga 8,000 jurutera mahir bagi sektor E&E setahun, mengambil kira trend peningkatan peluang pekerjaan dengan permintaan pekerja berkemahiran tinggi (15 peratus daripada jumlah keseluruhan jawatan adalah jurutera).
Katanya, jumlah itu mengambil kira kadar peningkatan kekosongan dan pewujudan jawatan baharu berkemahiran tinggi sektor itu pada kadar dua hingga 11 peratus bagi tempoh sama dengan kira-kira 130,000 perjawatan aktif secara purata setahun.
“Negara dijangka mengalami defisit bakat E&E sekurang kurangnya berjumlah 600 hingga 1,300 orang jurutera setahun mengambil kira jumlah penghasilan purata 6,600 siswazah dengan kelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas (jurutera) setahun.
“Pengiraan ini adalah dengan andaian jumlah penawaran melibatkan sifar peratus kadar pengangguran, dengan 100 peratus graduan E&E menceburi industri dan tiada penurunan trend graduan dalam bidang tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aminuddin berkata, defisit itu dijangka lebih besar mengambil kira keperluan 60,000 lagi jurutera berkemahiran tinggi yang disasarkan dalam Pelan Strategik Semikonduktor Nasional (NSS) dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan tumpuan kepada rantaian bernilai tinggi dalam industri semikonduktor melibatkan nilai pelaburan sehingga RM500 billion.
Katanya, defisit bakat sektor E&E juga perlu mengambil kira isu penghijrahan individu berkemahiran tinggi ke sektor lain seperti industri minyak dan gas serta telekomunikasi.
Ini termasuk fenomena pengaliran bakat graduan ke luar negara dengan penawaran gaji yang lebih tinggi dan kompetitif.
“Dalam hal ini terdapat keperluan untuk menyediakan kumpulan bakat dalam sektor E&E dengan kelayakan minimum ijazah sarjana muda (jurutera) untuk negara dapat bergerak ke landskap baharu industri pembuatan berteknologi tinggi.
“Ia dengan syarat terdapat pewujudan lebih banyak permintaan pekerjaan bernilai tinggi berdasarkan pelaburan masuk ke dalam negara termasuk perluasan pelaburan dalam negara,” katanya di sini semalam.
Trend peningkatan permintaan guna tenaga yang diperlukan oleh negara bagi sektor industri E&E ini turut dibuktikan menerusi data dan statistik Sumber Guna Tenaga dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dari tahun 2018 hingga 2023.
Bagaimanapun, potensi peluang pekerjaan sektor E&E dilihat masih tertumpu di peringkat operator mesin dan loji serta pemasang iaitu sebanyak 53.24 peratus menerusi data yang direkodkan hasil pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung industri (DDI) dalam negara bagi tempoh 2021 hingga 2023 oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Jumlah tenaga kerja sektor ini menunjukkan ia masih didominasi oleh pekerjaan di peringkat separuh mahir dengan peratusan tertinggi sebanyak 74.15 peratus diikuti peringkat mahir (22.72 peratus) dan berkemahiran rendah (3.13 peratus).
Aminuddin berkata, negara melahirkan purata sebanyak 24,700 graduan E&E setahun melibatkan pelbagai peringkat pengajian pendidikan (6,600 graduan ijazah sarjana muda ke atas) berdasarkan maklumat Sistem Kajian Pengesanan Graduan dari tahun 2018 sehingga 2022.
“Jumlah ini bagaimanapun tidak mengambil kira purata graduan di peringkat Diploma dalam bidang E&E yang memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat selanjutnya dalam pelbagai bidang kejuruteraan lain dengan nilai purata 3,000 graduan setahun,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Jawatankuasa Bakat Sains Teknologi Inovasi (STI) turut melihat data trend penurunan enrolmen murid aliran bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) daripada aliran Sains Tulen yang berpotensi untuk menyediakan kumpulan jurutera berkemahiran tinggi pada masa hadapan yang perlu diberi perhatian serius.
Katanya, peratus murid aliran Sains Tulen kini pada kadar 15.2 peratus dan kemerosotan prestasi pelajar dalam aliran tersebut dengan mata pelajaran yang melibatkan subjek penting seperti Matematik Tambahan untuk ke peringkat pengajian tinggi dalam jurusan kejuruteraan perlu diambil tindakan intervensi segera.
“Membenarkan graduan asing dari institusi pendidikan negara bekerja dalam sektor berteknologi tinggi mungkin dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian jangka pendek.
“Bagaimanapun ia bercanggah dengan hasrat dan tujuan pelaburan masuk yang sepatutnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan graduan tempatan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, keupayaan menukar pola ekosistem pekerjaan memfokus kepada penggunaan tenaga mahir hendaklah dilaksanakan dengan serius jika visi untuk mencapai negara berteknologi tinggi hendak dicapai menjelang tahun 2030.
“Jawatankuasa Bakat STI dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan industri akan terus komited untuk memastikan pembangunan bakat STI masa hadapan akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan pendekatan pelaksanaan keputusan berpandukan data.
“MOSTI selaku penggerak inisiatif berkaitan Bakat STI Negara mengambil peluang ini untuk memanfaatkan teknologi analisis data raya (big data analytics) bagi tujuan pembangunan pangkalan data bersepadu model penawaran dan permintaan bakat STI masa hadapan dengan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN










