ARAU: Larangan pembelian berulang untuk pengisian RON95 di semua stesen minyak di Kelantan bagi mengelak bahan api itu diseleweng ke negara jiran akan diperluas di negeri-negeri lain.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil berkata, pada masa ini, arahan tersebut hanya membabitkan Kelantan, namun akan diperluaskan ke negeri sempadan lain seperti Perlis, Kedah dan Perak.
Katanya, arahan tersebut sebelum ini dikeluarkan kepada semua stesen minyak di Kelantan yang taktik pembelian berulang RON95 ini paling tinggi dikesan.
Ujarnya, ia dilaksanakan selepas ada pihak dikesan cuba menggunakan pembelian berulang untuk mengumpulkan stok RON95 sebelum diseludup ke Thailand.
“Anggota sindiket biasanya menggunakan kenderaan dengan nombor plat tempatan untuk melakukan pengisian penuh RON95. Sebagai contoh (mereka isi) 60 liter yang mana kereta itu sepatutnya boleh melakukan sekali perjalanan antara 500 hingga 600 kilometer (km).
“Namun tidak pun sampai ke tahap perjalanan itu (500 hingga 600 km), dia sudah pun mengisi sekali lagi untuk pembelian penuh di mana kita syak minyak diisi itu akan cuba diselewengkan ke negara jiran,” katanya selepas pemeriksaan harga barangan dan perkhidmatan menerusi Ops Kesan 2.0 sekitar negeri ini di sini hari ini.
Tambahnya, kegiatan penyelewengan ini sebenarnya dapat dikesan dengan kerjasama pengusaha stesen minyak bagi memastikan tiada kecurangan berlaku di premis milik mereka.
“Jika (penyeludup) ditangkap, pengusaha stesen minyak boleh diambil tindakan kerana membiarkan petrol RON95 dibeli secara berulang. Lesen mereka boleh digantung dan KPDN sudah memberi amaran kepada semua stesen minyak di mana lesen mereka boleh dibatalkan jika terbukti bersengkongkol dengan penyeludup,” katanya.
Mengulas mengenai pemeriksaan Ops Kesan 2.0 itu, Shamsul Nizam berkata, tujuan pemantauan tersebut adalah bagi melihat situasi sebenar kedudukan harga barang dan perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu.
“Ops Kesan 2.0 dilaksana bagi menghadapi sebarang impak susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini dalam memastikan tiada elemen-elemen pencatutan berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Nizam berkata, berdasarkan statistik Ops Kesan 2.0 bermula 20 Mei hingga 14 Jun di negeri ini, sebanyak 24 premis telah diperiksa dan 14 notis bertulis turut dikeluarkan kepada para peniaga.
Katanya, notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) itu dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat awal berkaitan harga jualan dan kos barangan tertentu untuk melihat sama ada berlaku kenaikan atau sebaliknya.
“KPDN juga mengingatkan peniaga yang diberikan notis bertulis untuk mengemukakan maklum balas lengkap dan tepat dalam tempoh masa ditetapkan kerana kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah akta sama,” katanya-UTUSAN










