KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengingatkan Kementerian Kewangan (MoF) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memastikan perjanjian antara pemegang saham dalam isu pajakan tanah Hotel St Regis Langkawi dipatuhi.
Oleh itu Kementerian Kewangan (MoF) perlu segera memastikan tunggakan pajakan tanah dibayar dalam tempoh enam bulan selepas perjanjian ditandatangani.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini susulan perjanjian pemegang saham antara INR Sdn Bhd, Menteri Kewangan Diperbadankan dan LADA telah ditandatangani pada 10 Jun lalu.
“MoF perlu segera memastikan tunggakan pajakan tanah dibayar dalam tempoh enam bulan, selepas perjanjian ditandatangani pada 10 Jun lalu.
“Rundingan mengenai pelan pemulihan menyeluruh yang dimulakan INR Sdn Bhd dengan pihak Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan pihak Receiver and Manager (R&M), perlu segera dimuktamadkan bagi memastikan tunggakan pinjaman INR Sdn Bhd dapat dijelaskan kepada BPMB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pada 19 Mac, PAC mengemuka lima perkara kepada MoF dan LADA untuk dilaksanakan bagi menyelesaikan isu pajakan Hotel St Regis Langkawi dan projek Perkampungan Tok Senik Resort.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, PAC juga berpandangan pengurusan Jeti Pelancongan Kuah yang dibina dengan kos RM7.3 juta perlu diuruskan oleh LADA atau melalui anak syarikatnya iaitu Langsura Geopark Sdn Bhd selepas pembinaan jeti tersebut diperoleh daripada peruntukan kerajaan.
“LADA hendaklah lebih giat meneruskan libat urus bersama pihak berkaitan, dalam usaha melaksanakan program yang dirancang sekali gus mempromosi Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan kekal diiktiraf di mata dunia,” katanya.
Mas Ermieyati berkata, Laporan PAC terhadap tindakan susulan LADA dan MoF bagi syor Laporan PAC berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah LADA dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, MoF perlu memastikan tindakan yang akan dilaksanakan terhadap hala tuju projek Perkampungan Tok Senik Resort tidak akan melibatkan implikasi kewangan dan perundangan kepada kerajaan.- UTUSAN










