PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) menafikan dakwaan petani di Cameron Highlands terlepas daripada menerima subsidi diesel.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kad fleet Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 telah disediakan kerajaan melibatkan sektor logistik untuk terus dapat membeli diesel pada harga RM2.15 seliter.
“Kad fleet ini merangkumi 23 jenis kenderaan termasuk lori kargo am dan lori hasil pertanian serta kenderaan utama dengan kod BY iaitu barangan dikawal Cameron Highlands,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kira-kira 80 peratus petani sayur di Cameron Highlands dijangka tidak dapat menikmati subsidi diesel kerana mencatatkan jualan tahunan melebihi RM300,000.
Presiden Persatuan Petani Sayur Cameron Highlands, Datuk Chai Kok Lim berkata, keadaan itu bermakna mereka tidak dapat menikmati subsidi di bawah kategori Budi Agri Komoditi.
Katanya, tanpa subsidi diesel, kenaikan harga sayuran mungkin berlaku dan menjejaskan pengguna, malahan membawa kesan inflasi.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, beliau difahamkan oleh Kementerian Kewangan, petani di Cameron Highlands merayu supaya kerajaan menyediakan diesel bersubsidi untuk set penjana kuasa mereka dan meningkatkan ambang pendapatan untuk bantuan tunai sehingga RM1 juta.
“Budi Madani bagi sektor pertanian, julat pendapatan yang dipersetujui dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) adalah antara RM50,000 ke RM300,000 namun memperluaskan kepada set generator bukanlah apa yang kami sedia lakukan.
“Kecuali KPKM ada cadangan bagaimana untuk menyediakan diesel bersubsidi set penjana kuasa bagi pertanian di seluruh negara selain menggunakan kad fleet dalam kegunaan yang tidak berkaitan dengan kenderaan adalah tidak wajar,” jelasnya. – UTUSAN










