KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 28 notis bagi kesalahan penjualan rokok dan tembakau kepada remaja atau orang belum dewasa (OBD).
Sebanyak 26 notis dikeluarkan pada tahun lalu manakala dua lagi notis dikeluarkan pada tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM serius mengenai isu penjualan rokok tembakau kepada remaja atau orang belum dewasa.
Menurut beliau, pengedar dan penjual perlu bertanggungjawab sekiranya mereka didapati bersalah menjual rokok kepada remaja atau orang belum dewasa.
“Fokus utama kita adalah melindungi kanak-kanak daripada pengaruh industri tembakau, sejajar dengan perjanjian Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) peraturan yang dirunding di bawah Perkara 21 seperti Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005).
“Hal ini kerana, kesedaran tentang bahaya merokok dan penyakit berkaitan seperti penyakit kardiovaskular, stroke, kanser, dan COPD dalam kalangan masyarakat perlu ditingkatkan,” katanya ketika merasmikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 di sini, hari ini.
Kata beliau, perkara tersebut selaras dengan rancangan KKM untuk menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sepenuhnya berserta peraturan dan perintah di bawahnya mulai tahun ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, langkah KKM yang mewartakan Akta 852 bermula 2 Februari lalu adalah usaha mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk termasuk elektronik atau vape.
“Tujuannya adalah untuk melindungi golongan sasaran, terutama remaja dan kanak-kanak, daripada bahaya kesan merokok di tempat awam.
“Pada setiap tahun, kira-kira 26,000 kematian pramatang di Malaysia adalah disebabkan oleh penyakit berkaitan tembakau,” jelasnya.
Menurut Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia 2022 (NHMS 2022),dapatan menunjukkan penurunan kadar merokok dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun daripada 13 peratus pada tahun 2017 kepada 12 peratus.
Namun, penggunaan rokok elektronik meningkat daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada hampir 15 peratus pada tahun 2019.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, semua pihak perlu berusaha untuk mengurangkan kadar merokok dan penggunaan rokok elektronik, demi kesihatan masyarakat, terutama generasi muda.
Katanya, rakyat Malaysia juga diharap memberikan kerjasama dalam usaha menentang penggunaan rokok dan tembakau demi kesejahteraan semua.- UTUSAN










