PETALING JAYA: Sebanyak 38.5 peratus atau 57,7500 individu daripada 1.5 juta responden didapati bermasalah membayar balik hutang kerana ketagih membeli barangan dan perkhidmatan tanpa memikirkan kegunaannya.
Kajian Program Pengurusan Kredit Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mendapati, 31.1 peratus (466,500 individu ) mengakui mereka berbelanja mengikut perasan, 22.6 peratus (339,000 individu) membeli bagi mengatasi tekanan manakala 19.5 peratus (292,500 individu) lagi membeli tanpa memikirkan kegunaan barang atau perkhidmatan yang dipesan.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK, Rohanizam Talib berkata, sejak AKPK ditubuhkan pada 2006 hingga Mac lalu, lebih 53,000 individu berumur 20 tahun hingga 30 tahun daripada 1.5 juta orang sudah dibantu agensi itu.
Katanya, usia antara 28 tahun hingga 30 tahun mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 65 peratus.
Menurut beliau, dapatan kajian itu membimbangkan lebih-lebih lagi membabitkan kalangan belia berusia 30 tahun dan ke bawah yang mendapati, 38.5 peratus responden berhutang kerana ketagih membeli-belah.
“Umur 28 hingga 30 tahun itu adalah individu ataupun kategori umur yang paling ramai mempunyai senarai kategori hutang tinggi mendapatkan bantuan daripada AKPK.
“Rakyat Malaysia atau sebagai individu kebanyakannya mereka ini berhutang atas empat dasar fasiliti.
“Antaranya adalah kredit kad dan ada yang mengambil pinjaman peribadi. Kemudian apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak mereka cenderung mendapatkan aset seperti pinjaman perumahan atau pinjaman kereta.
“Selain itu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) yang mana ia adalah hutang awal mereka bawa dalam sebelum memasuki dunia pekerjaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, melalui kajian yang dijalankan terhadap individu bagi lingkungan umur antara 20 tahun hingga 30 tahun, kemudahan kredit paling banyak distrukturkan semula di bawah Program Pengurusan Kredit (PPK) adalah kad kredit (47 peratus) dan pinjaman peribadi (40 peratus).
Selain itu, sewa atau beli pinjaman kenderaan (tiga peratus), pinjaman perumahan (dua peratus) dan hutang lain (lapan peratus).
Rohanizam berkata, tingkah laku pembelian kompulsif atau tabiat ketagih membeli barangan atau perkhidmatan itu sangat membimbangkan dan dikhuatiri bertambah buruk apabila banyak platform e-dagang kini mempromosikan ‘beli dulu bayar kemudian’ (BNPL).
“Lazimnya untuk orang yang meminjam ini bagi golongan belia, mereka lebih kepada untuk mengamalkan gaya hidup mewah.
“Mereka berbelanja berpaksikan mentaliti ‘kamu hanya hidup sekali’ dan ‘takut ketinggalan’ iaitu untuk memastikan mereka dapat membeli semua benda pada waktu tersebut. Jadi, perkara seperti ini yang membuatkan mereka terpengaruh berbelanja melalui pembiayaan,” katanya.
Beliau berkata, golongan belia juga dibebani hutang yang banyak disebabkan faktor keperluan.
“Dari segi keperluan pula, apabila mereka telah mula bekerja, mereka membeli motosikal atau kereta untuk ke tempat kerja dengan selesa. Jadi, pada awalnya lagi mereka sudah ada komitmen yang agak besar.
“Ketika mereka mendapat pembiayaan kereta daripada pihak bank, biasanya bank tawarkan pula kad kredit dan fasiliti. Jadi, pada satu masa mereka dapat dua fasiliti serentak.
“Perkara seperti ini jika kita tidak tahu macam mana ingin urus atau tiada ilmu kewangan yang mantap boleh terdorong ke arah beban hutang serius,” katanya.
Justeru katanya, orang ramai digalak mendapatkan khidmat nasihat kewangan sebelum beban hutang mereka menjadi parah.
“Untuk menjadi orang tengah antara mereka sebagai peminjam dan perbankan atau penyedia perkhidmatan kredit, kami menyediakan satu parameter yang digunakan oleh semua perbankan dalam Malaysia untuk membantu orang ramai yang menghadapi masalah hutang yang tidak terkawal.
“Kita membantu mereka melalui PPK untuk tetap membayar hutang sedia ada berdasarkan pengurusan penjadualan semula pembayaran hutang mengikut kemampuan aliran tunai mereka,” katanya. – UTUSAN









