PETALING JAYA: Dua remaja lelaki berusia 17 tahun yang ditahan berkaitan kes membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan khianat.
Kedua-dua tertuduh yang merupakan pesalah juvana membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad dalam prosiding secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khianat dengan merosakkan kereta jenis Proton Saga, milik seorang lelaki berusia 18 tahun dengan kerugian RM500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan hadapan Balai Polis Serdang, di sini pada pukul 6.30 pagi, 2 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli manakala dua pesalah juvana ini diwakili peguam Muhammad Amirul Mukminin Mohd. Sufian.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Ogos ini bagi jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Rabu lalu, media melaporkan dua remaja lelaki ditahan kerana disyaki terbabit kes membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang, di sini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, kedua-dua suspek berusia 17 tahun itu ditahan di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan sekitar pukul 4 petang.
Jelasnya, tangkapan membabitkan pelajar dan penganggur selepas disyaki melakukan perbuatan khianat kerana tidak puas hati setelah ditegur anggota polis kerana tidak memakai topi keledar. – UTUSAN







