Kes Adam Radlan ditangguh kali kedua, 9 Julai bicara

Kes Adam Radlan ditangguh kali kedua, 9 Julai bicara

ADAM Radlan Adam Muhammad (tiga dari kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah dan AMLA projek Jana Wibawa. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang dijadual bulan ini, ditangguh kali kedua oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Suzana Hussin menangguhkan perbicaraan sehingga 9 Julai ini selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili ahli perniagaan itu.

Sehubungan itu, Adam Radlan, 43, yang menghadapi lima pertuduhan rasuah dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, dibicara selama sembilan hari bermula pada 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Terdahulu, Rajan memaklumkan, pihaknya baru menerima satu dokumen iaitu jilid 13 berkaitan pertuduhan di bawah pengubahan wang haram pada Jumaat lalu.

Menurut peguam bela, dokumen mengikut Seksyen 52 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak lengkap.

“Oleh yang demikian, pihak pembelaan memerlukan  masa untuk meneliti dokumen dan mendapat arahan daripada anak guam,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memaklumkan, pihaknya baru menyerahkan dokumen (jilid 13) pada 7 Jun lalu selepas membuat persediaan akhir bagi menghadapi perbicaraan minggu ini.

Sambil memohon maaf, beliau memberitahu pegawai penyiasat memaklumkan terdapat beberapa dokumen yang terlepas pandang untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

Menurut beliau, bagaimanapun pihaknya telah menyerahkan kepada peguam dokumen-dokumen di bawah Seksyen 53 yang dirujuk oleh SPRM kepada tertuduh. 

Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 dan Januari 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN