Kerjasama pertahanan menyeluruh Malaysia, Turkiye diwujud

Kerjasama pertahanan menyeluruh Malaysia, Turkiye diwujud

Mohamed Khaled Nordin dan delegasi Malaysia ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Yasar Guler di Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye (MoND) di Ankara semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL (Turkiye):  Malaysia dan Turkiye bersetuju membentuk satu kerjasama pertahanan menyeluruh seterusnya memberi ruang meningkatkan aspek ketenteraan antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kata sepakat itu dicapai ketika pertemuan empat mata beliau dengan Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler ketika kunjungan hormat ke Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye (MoND) di Ankara semalam.

“Pada kita, kerjasama sedia ada sepatutnya dinaikkan kepada perjanjian pertahanan yang merangkumi semua perkara seperti hal pertahanan dan kerjasama angakatan tentera.

“Jadi, kita akan berusaha dan Turkiye juga bersetuju supaya satu kerjasama pertahanan menyeluruh dapat dicapai antara kedua negara,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini

Terdahulu, pada kunjungan hormat itu, Mohamed Khaled menerima tabik hormat daripada Pasukan Istiadat dan Perbarisan MoND sebagai simbolik kunjungan rasmi ke republik berkenaan dan meluangkan masa selama hampir sejam bertemu Yasar bersama delegasi dari Malaysia.

Susulan itu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia juga bersetuju kepada jalinan kerjasama pertahanan tersebut berikutan selama ini belum ada perkara seumpama itu.

“Ini bermakna banyak perkara yang boleh kita kongsi selain untuk melengkapi soal bagi meningkatkan keupayaan tentera masing-masing.

“Kalau ada perjanjian itu, kita juga boleh melihat soal perkongsian maklumat, membanteras keganasan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai soal perkongsian maklumat berkaitan keganasan, ketegangan dan keselamatan serantau, Mohamed Khaled berkata, Malaysia perlu mempunyai maklumat menyeluruh mengenai keadaan di rantau ASEAN seterusnya membuat pendirian tepat.

“Kita tahu Turkiye merupakan sebuah negara yang berhadapan dengan lebih enam hingga tujuh negara lain selain berusaha menangani cabaran daripada kumpulan militan dan Daesh.

“Pada masa sama, Turkiye juga perlu mengambil tahu soal ASEAN berikutan kita merupakan kawasan yang mengamalkan pendirian untuk berkecuali, aman dan bebas,” katanya.

Keadaan itu katanya, kerana Selat Melaka merupakan kawasan navigasi yang tidak terhindar daripada ancaman jika berlaku sesuatu kejadian dan boleh menjejaskan perdagangan antarabangsa.

“Maka atas sebab itu, banyak negara lain bagi tumpuan kepada negara kita dan ini termasuk Turkiye,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×