PETALING JAYA: Kerajaan disaran mengeluarkan pewartaan gula di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dalam usaha mengurangkan penyakit diabetes dalam kalangan rakyat.
Kawalan harga menyebabkan kerajaan terpaksa memberi insentif RM42 juta sebulan kepada semua pengilang gula di negara ini mulai November 2023 yang turut mendorong harga bahan itu kekal rendah di pasaran.
Situasi ini menyebabkan penggunaannya meningkat yang menyumbang kepada kadar diabetes tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia di rantau Pasifik Barat dan antara tertinggi di dunia.
Menerusi kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), sebanyak 15.6 peratus atau satu daripada enam dewasa di Malaysia menghidap kencing manis.
Lebih menakutkan, 84 peratus dewasa muda berumur lingkungan 18 ke 29 tahun tidak menyedari yang mereka sebenarnya menghidap kencing manis dan penyakit tidak berjangkit ini merupakan punca utama kematian di Malaysia.
Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, langkah mengeluarkan gula daripada senarai barang kawalan wajar dilakukan bagi mengawal pengambilannya dalam kalangan rakyat.
Katanya, langkah itu mungkin dilihat ‘agak keras’ untuk dilakukan kepada pengguna tetapi merupakan tindakan pencegahan terbaik kepada kesihatan.
“Mungkin tidak popular dari segi politik dan sosial, tetapi merupakan ‘ubat’ atau pencegahan kesihatan awam bagi mengatasi masalah kesihatan dan kos kesihatan rakyat yang semakin tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerajaan dilapor menanggung RM9.65 bilion atau 16.8 peratus melibatkan perbelanjaan langsung penjagaan kesihatan untuk menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) daripada jumlah perbelanjaan kesihatan di negara ini.
Anggaran tersebut dibuat berdasarkan perbelanjaan pada 2017 dan laporan itu dikeluarkan pada 2022 melalui Kos Penjagaan Kesihatan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan KKM.
Jumlah perbelanjaan bagi penyakit diabetes adalah sebanyak RM4.38 bilion (45.38 peratus) daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit NCD.
Perbelanjaan ini adalah merangkumi perbelanjaan kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, beberapa negara luar seperti United Kingdom, Afrika Selatan dan Mexico telah pun mengenakan cukai ke atas minuman manis bergula (SSB).
“Langkah itu boleh dilakukan Malaysia bagi menurunkan pembelian dan penggunaan kandungan gula seperti air manis yang boleh membawa kepada peningkatan diabetes dan kencing manis,” katanya.
Beliau berkata, bagi pengeluar makanan dan industri yang terlibat dengan subsidi gula pula diturunkan atau ditarik balik.
Mac lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pemberian insentif kewangan sebanyak RM42 juta kepada pengilang gula yang dilaksanakan ketika ini merupakan langkah sementara bagi memastikan kesinambungan pengeluaran bahan makanan asas itu. – UTUSAN










