BANDAR BAHARU: Keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin dinasihatkan membuat laporan polis jika merasakan diri mereka terancam akibat penyebaran laporan siasatan didakwa berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak autistik itu di media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan rakyat selain pada masa sama memastikan siasatan kes terbabit dapat berjalan lancar.
“Kes ini dianggap berprofil tinggi. Insiden ini sudah hampir enam bulan dan hakikat bahawa perkembangan terkini yang berlaku yang mungkin sesetengah pihak anggap memeranjatkan tetapi pihak polis secara profesional mengumpul maklumat dengan penuh berhati-hati.
“Seluruh siasatan polis berpandukan kepada peraturan dan disiplin. Polis tidak boleh bertindak atas persepsi, atas maklumat-maklumat yang samar.
“Jadi bila polis buat siasatan membabitkan kes pembunuhan macam ini, kertas siasatan polis bermaksud kukuh kepada beberapa perkara yang menjadi rukun. Pertamanya mayat, kedua motif dan ketiga senjata. Jadi, siasatan dipandukan kepada prosedur yang begini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar yang didakwa sebagai laporan siasatan membabitkan kes pembunuhan Zayn Rayyan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis akan menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan perkara itu selain turut memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menurunkan tangkap layar berkenaan. –UTUSAN









