Juruteknik langgar polis dipenjara curi motosikal - Utusan Malaysia

Juruteknik langgar polis dipenjara curi motosikal

TERTUDUH Mohd Fikhri Amar @ Omar berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang melanggar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dipenjara 28 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini kerana memiliki motosikal curi, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Fikhri Amar @ Omar, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, juruteknik pendingin hawa itu didakwa mencuri motosikal jenis Honda Wave di Kampung Telaga Batu, Mukim Limbong di sini pada pukul 2.20 pagi, 6 Jun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dia turut didenda masing-masing RM1,000 dan RM3,000 selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan anggota polis dan menghalang penjawat awam bertugas di Jalan Minitar Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pukul 3 pagi, hari yang sama.

Dalam pertuduhan di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan, dia didakwa melanggar mangsa dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha Y15Z secara gopoh manakala kesalahan menghalang penjawat awam dikemukakan di bawah Seksyen 186 kanun sama.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha dan tertuduh diwakili peguam Saidina Khatijah Zaharah Khairulnisak Mohd. Noor daripada Yayasan Guaman Bantuan Kebangsaan (YGBK).

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Mohd. Fikhri juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki menggunakan topi keledar.

Kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Teluk Kechai, Jalan Kuala Kedah pada pukul 9.30 malam, 5 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Ruslan Usman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, namun Hakim Jean Sharmila Jesudason menangguhkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan tertuduh.

Mahkamah menetapkan 14 Julai ini untuk tujuan itu dan menawarkan jaminan RM20,000 beserta dua penjamin selain melapor diri di balai polis terdekat. Bagaimanapun tertuduh tidak membayar jaminan kerana dipenjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 379A. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×