KANGAR: Cubaan seorang wanita yang cuba membawa masuk wang tunai berjumlah RM65,160 melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar gagal apabila ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Isnin lalu.
Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, menerusi kejadian itu, wanita berkenaan berusia 47 tahun ditahan bersama beg galas berwarna kelabu yang dibawanya sewaktu melalui mesin pengimbas bagasi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada beg tersebut menemukan wang berkenaan yang disyaki melebihi jumlah 10,000 USD (RM47,121) sebagai mana kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
“Mana-mana pihak yang membawa keluar atau masuk wang melebihi jumlah 10,000 USD perlu mendapatkan kelulusan BNM terlebih dahulu.
“Wanita tersebut didapati gagal membuat pengikraran mata wang dalam Borang Kastam No 7 dan tidak mendapatkan kelulusan BNM kerana membawa mata wang melebihi 10,000 USD,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks JKDM, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, wanita tersebut yang merupakan peniaga restoran sekitar Perak dipercayai cuba membawa masuk wang berkenaan bagi tujuan peribadi dan melancong.
Katanya, selain itu, dia juga mendakwa tidak mengetahui mengenai proses pengikraran tersebut dan enggan melakukan penyimpanan wang di bank kerana merasakan tidak selamat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 28B Akta Pencegahan Penggunahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. Wanita itu turut dibebaskan dengan jaminan RM5,000,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ismail berkata, satu serbuan turut dilakukan di kawasan pesisir Pantai Kampung Pulau, Simpang Empat, di sini, yang membawa kepada penemuan dua bungkusan berwarna merah jambu disyaki mengandungi ketulan mampat ganja.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 80 ketulan mampat dipercayai ganja dianggarkan seberat 84.67 kilogram ditemui dalam bungkusan berkenaan bernilai kira-kira RM262,477.
“Menerusi siasatan, modus operandi digunakan adalah dengan meletakkannya barangan itu di pesisir pantai melalui jalan laut menggunakan sampan dan akan dipungut oleh pihak lain.
“Berdasarkan jumlah berat ganja berkenaan, rampasan ini berjaya membanteras dadah berkenaan daripada digunakan oleh lebih 420,000 penagih,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN











