PUTRAJAYA: Jenazah pendaki warganegara Malaysia yang meninggal dunia di Mount Denali, Alaska, Amerika Syarikat dibawa pulang ke tanah air.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, ia berdasarkan keputusan yang dibuat pihak waris dan Konsulat Jeneral Malaysia akan meneruskan bantuan konsular sewajarnya.
Katanya, bantuan tersebut agar pengurusan dan penghantaran pulang jenazah dapat berjalan dengan lancar.
“(Terdahulu) Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles memaklumkan bahawa jenazah pendaki warganegara Malaysia itu selamat dibawa turun dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
“Jenazah kini ditempatkan di pejabat kesihatan tempatan untuk tujuan bedah siasat,” katanya hari ini.
Pihak Wisma Putra akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang pendaki Malaysia maut, manakala dua lagi selamat selepas terkandas selama tiga hari di gunung berkenaan.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, mangsa yang maut dikenali sebagai Zulkifli Yusuf manakala dua mangsa selamat dikenali sebagai Zainudin Lot dan Illaham Ishak. – UTUSAN










