PUTRAJAYA: Jenazah pendaki warganegara Malaysia yang meninggal dunia di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat telah dibawa pulang ke negara ini.
Perkara itu disahkan Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles yang turut memaklumkan jenazah berkenaan telah tiba di Pulau Pinang, hari ini untuk dikebumikan di Taiping, Perak.
Pada masa sama, Wisma Putra memberitahu, kedua-dua pendaki warganegara Malaysia yang lain telah keluar dari hospital dan pulang ke Malaysia dengan selamat.
“Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan penghargaan kepada kesemua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran pengurusan jenazah dan kebajikan kesemua mangsa terjaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, jenazah pendaki, Zulkifly Yusof selamat tiba di rumah neneknya di Kampung Temerlok Trong, Perak pada pukul 11.45 pagi tadi.
Jenazah disambut oleh penduduk tempatan termasuk ahli keluarga terdekat dan majlis doa tahlil turut diadakan di rumah nenek pendaki berusia 37 tahun.
Jenazah Allahyarham Zulkifly akan dibawa ke Masjid Al Mahmudiah Temerlok dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temerlok.
Sebelum ini, media melaporkan, jurutera Petronas itu meninggal dunia setelah terkandas pada ketinggian kira -kira 6,000 meter di Gunung Denali Alaska Amerika Utara pada pukul 6 pagi (waktu tempatan), 29 Mei lalu.
Jenazah dibawa pulang menaiki penerbangan pesawat kargo Korean Airlines (KE373) ke Lapangan Terbang Bayan Lepas pagi ini. – UTUSAN