KUALA LUMPUR: Penyanyi, Lufya Omar, 39, menasihatkan pasangan suami isteri yang berhadapan konflik dalam perhubungan tidak sewenang-wenangnya menjadikan perceraian sebagai jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Kata Lufya, perpisahan bukan jalan terbaik selagi satu-satu perkahwinan itu dapat diselamatkan daripada musnah hanya disebabkan isu yang remeh.
“Perceraian dibolehkan sekiranya suami atau isteri merasakan mereka menzalimi diri sendiri kalau perkahwinan mereka tersebut. Tetapi, kalau boleh elak (cerai) dan masih boleh bersabar, teruskan (perkahwinan).
“Jangan normalisasikan perceraian. Berusahalah untuk selamatkan rumah tangga kalau ia masih boleh diperbaiki dan pasangan masih mampu bertoleransi.
“Pergilah berjumpa pakar kaunseling atau minta nasihat dan doa daripada ilmuan agama,” kongsinya.
Lufya sebelum ini pernah bergelar isteri kepada Dr. Che Hafiz namun keduanya memutuskan untuk bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada 17 Jun 2020.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Laana Haura.
Bercakap mengenai isu suami curang, kata Lufya tidak wajar seseorang isteri itu menjadikan masalah tersebut sebagai satu-satunya alasan untuk bercerai.
“Saya ada kawan yang rumah tangganya nampak harmoni, tapi dalaman perkahwinan hanya mereka sahaja yang tahu.
“Dia memaklumkan bahawa suaminya curang. Saya tanyakan kepadanya, adakah suaminya bertanggungjawab? Bagi nafkah dan jaga anak-anak?
“Jangan hanya kerana suami curang, kita sebagai isteri tidakkan kebaikan-kebaikannya yang lain dengan meminta cerai. Melainkanlah kalau suaminya bukan sahaja curang, malah ‘kaki pukul’, penipu, tak bertanggungjawab dan sebagainya.
“Pada saya, perceraian adalah jalan yang paling akhir. Memang kita akan rasa tersakiti kalau pasangan kita berlaku curang. Tapi jangan biarkan kemarahan kita itu menidakkan kebaikan-kebaikan lain yang suami lakukan. Bersabarlah demi anak-anak,” jelasnya.










