Jangan 'simpan' pegawai bermasalah isu rasuah, salah guna kuasa

Jangan ‘simpan’ pegawai bermasalah isu rasuah, salah guna kuasa – EAIC

ISMAIL Bakar ketika mempengerusikan mesyuarat EAIC bersama ketua jabatan agensi penguatkuasaan di Sepang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menegur kecenderungan agensi penguatkuasaan tertentu untuk ‘menyimpan’ pegawai yang bermasalah dalam isu salah laku dan rasuah.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, mana-mana ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai tersebut boleh dianggap melakukan satu kesalahan.

“Saya percaya perbuatan penguat kuasa dan penjawat awam yang tidak berintegriti ini pada akhirnya akan diketahui oleh agensi masingmasing.

“Namun terdapat kecenderungan agensi untuk ‘menyimpan’ pegawai yang bermasalah ini. Ini harus dihentikan. Mengekalkan pegawai bermasalah tidak akan membawa kepada penambaikan terhadap usaha pengukuhan integriti,” katanya ketika berucap pada mesyuarat EAIC bersama ketua jabatan agensi penguatkuasaan di sini hari ini.

Menurut Ismail, amalan pada ketika ini adalah dengan menukarkan pegawai yang bermasalah ke tempat lain, namun ia umpama roda yang tidak henti berputar.

Katanya, pegawai yang ditukarkan akan melakukan perkara yang sama di tempat baharu, dan lebih teruk lagi, mempengaruhi pegawai dan kakitangan di tempat baharu untuk melakukan perbuatan salah laku dan tidak berintegriti.

“Menjadi kebimbangan juga apabila sesetengah penjawat awam dan penguat kuasa saling menggunakan pihak ketiga sebagai contoh syarikat perniagaan dan individu berpengaruh untuk melindungi kegiatan salah mereka.

“Kewujudan kartel yang cuba memonopoli dan memanipulasi pasaran terutamanya terhadap beras putih tempatan, telur ayam dan lain-lain bahan asas menyebabkan kerugian kepada negara,” katanya.

Malah, kata beliau, lebih menyedihkan lagi terdapat pihak atasan yang bersekongkol dalam aktiviti salah laku ‘anak buah’, selain ada menjadi ‘kepala’ kepada perbuatan ini yang sangat-sangat mencemarkan imej perkhidmatan awam.

Tegasnya, sesiapa dalam kalangan perkhidmatan awam yang melakukan salah laku serta melanggar prinsip integriti perlu dibuang dari sistem termasuk ketua jabatan itu sendiri jika melindungi kegiatan salah laku.

“Tindakan tidak popular ini perlu berani diambil. Walaupun tidak disukai, tetapi tindakan berani seperti itu boleh menyelamatkan imej perkhidmatan awam,” katanya.

Pada masa sama, EAIC turut bimbang adalah apabila melihat agensi penguatkuasaan seliaan seakan memperlekehkan pengesyoran hukuman terhadap siasatan dan aduan yang diterima pihaknya.

Secara amnya, hukuman tatatertib yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib agensi penguatkuasaan seliaan tidak boleh lebih rendah daripada apa yang disyorkan EAIC kerana Pegawai Siasatan EAIC telah menjalankan siasatan lengkap dan mengambil kira setiap aspek dengan sewajarnya.

“Apabila pihak pihak berkuasa tatatertib agensi penguatkuasaan seliaan tidak mengguna pakai pengesyoran EAIC, ia secara tidak langsung memberi signal bahawa agensi penguatkuasaan tersebut tidak serius dalam menangani, malah secara terang menerima perbuatan salah laku dan tidak berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN