Isu Renong:  Halim rayu keputusan mahkamah batal saman terhadap Tun M, dua yang lain

Isu Renong:  Halim rayu keputusan mahkamah batal saman terhadap Tun M, dua yang lain

HALIM SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Tokoh korporat, Tan Sri Halim Saad merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dua lagi berhubung dakwaan beliau mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong Bhd., 23 tahun lalu.

Notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftaran (Sivil), Mahkamah Rayuan pada 11 Jun lalu melalui Tetuan Surendra Ananth manakala pengurusan kes ditetapkan pada 9 September ini.

Ahli perniagaan itu tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Mei lalu yang membatalkan samannya terhadap Tun Dr. Mahathir, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan yang difailkannya pada 2 Ogos 2023.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Suzana Muhamad Said membenarkan ketiga-tiga pihak membatalkan saman itu selepas mendapati satu lagi kes saman difailkan Halim sebelum ini terhadap Khazanah Nasional Berhad, Nor Mohamed dan kerajaan pada tahun 2013 yang melibatkan isu sama, sudah diputuskan mahkamah.

Dalam keputusannya, beliau berkata, apa sahaja isu yang ada melibatkan prinsip res judicata (prinsip bahawa kausa tindakan tidak boleh dikemukakan semula antara pihak sama apabila ia sudah dinilai berdasarkan merit) dan alasan tempoh had masa, adalah terpakai dalam kes di hadapannya.

“Ada sebab mengapa ada batasan (dalam had masa). Ia adalah untuk menghentikan sebarang kausa tindakan yang tidak perlu, terutamanya selepas melepasi tempoh masa.

“Bagi saya, peristiwa ini adalah pada tahun 2001 dan sudah lebih daripada 20 tahun. Begitu juga selepas mengambil kira fakta bahawa tuntutan di mahkamah (lain) pada 2013, dan hanya lebih 10 tahun, kes ini dibawa ke mahkamah,” katanya serta turut memerintahkan Halim membayar kos RM10,000.

Ketiga-tiga pihak itu selaku defendan memohon perintah supaya writ dan pernyataan tuntutan Halim sebagai plaintif dibatalkan dengan kos mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Alasan yang diberikan ialah tuntutan saman terbabit adalah remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 31 Oktober, 2013, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Khazanah, Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan untuk membatalkan saman Halim kerana difailkan selepas tempoh had masa enam bulan mengikut Akta Had Masa 1953, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan.

Halim menerusi saman pada Ogos 2023 pula berkata, tuntutan beliau berdasarkan pelanggaran haknya oleh Kerajaan Malaysia ketika diarahkan Tun  Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus dalam Renong Berhad daripada United Engineers Malaysia Berhad (UEM).

Ia menurut Opsyen Jual yang dilaksanakan ke atasnya oleh UEM pada Disember 2000. Ketika itu, Tun  Mahathir atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Nor Mohamed pula sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada Perdana Menteri.

Halim berkata, pada masa material, Renong memegang 37.92 peratus saham UEM dan beliau pemegang saham individu tunggal terbesar dan mengawal Renong.

Katanya, beliau berniat membuat tawaran am ke atas UEM, sama ada melalui Renong atau bersama Renong untuk menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkan beliau memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.

Beliau mendakwa, diarahkan Tun Dr. Mahathir dan Nor Mohamed secara langsung supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN