IPOH: Seramai 121 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Teluk Intan dihantar pulang ke negara asal hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, tahanan warga asing terdiri daripada 76 lelaki, 37 wanita dan lapan kanak-kanak itu dihantar pulang selepas selesai menjalani proses undang-undang.
Katanya, kesemua tahanan yang dihantar pulang berusia antara satu bulan hingga 55 tahun.
“Kesemua tahanan itu sebelum ini telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta diputuskan pemindahan ke negara asal di bawah akta dan peraturan yang sama.
“Tahanan yang dipindahkan ke negara asal itu juga telah disenarai hitam bagi mencegah mereka dari memasuki semula negara ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, proses penghantaran pulang kesemua PATI itu dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
“Program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membenteras PATI yang dijalankan oleh JIM Perak,” katanya. – UTUSAN








