BUKANLAH sesuatu yang baharu lagi apabila ratu pop negara, Ziana Zain merakamkan lagu tema berjudul Semangat Wira, selepas pelantikannya sebagai duta rasmi organisasi perancangan kewangan, CSA Academy, pada Mac lalu.
Memikul tanggungjawab menyebarkan maklumat mengenai cara menjalani kehidupan bebas hutang, Semangat Wira, bergerak sebagai lagu bukan komersial dengan matlamat menyerap roh perjuangan tanpa mengenal erti putus asa dan menjentik semangat jiwa-jiwa yang lemah.
Meskipun bukanlah karya dalam nuansa balada, namun, lagu ini masih mengekalkan tanda dagang pop Ziana, vokal bulat serta tinggi rendah nadanya yang dibawa sepanjang tempoh lebih tiga dekad sebagai penyanyi arus perdana.
Diterbit dan ditulis oleh Jia Wang, Rao Hui Bing, Shazee Ishak dan Wu Zhen Hao, ia sudah dirilis di semua platform digital penstriman muzik pada 24 Mei lalu.
Cuma, di usia emas ini, vokal Ziana kedengaran lebih keras dan bergelut menyanyikan lagu bernada tinggi seolah-olah dia mahu membuktikan masih mampu bernyanyi dalam not asli seperti Madah Berhelah, Anggapanmu, Putus Terpaksa dan Puncak Kasih.
Tetapi, saya tidak akan membandingkan diskografinya dengan Semangat Wira kerana arah muzik kali ini berbeza.
Sebagai naskhah motivasi, intro bermula pada 55 saat pertama yang kedengaran agak perlahan diiringi instrumen piano bagi saya kurang punch dan mengikat untuk sekali pendengaran.
Ziana kelihatan terus berada dalam ruang selesanya sebagai penyanyi pop dan balada. Inilah yang berlaku dalam keseluruhan lagu Bangkit Bersama (Dayang Nurfaizah) untuk lagu tema Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang kedengaran lebih baladanya.
Saya percaya, Ziana tidak perlu push hard Semangat Wira seperti dia menyanyikan Dingin dan Menadah Gerimis, dalam keadaan merintih jerit contohnya pada perkataan “membara”.
Lazimnya, rintihan itu ada di dalam lagu-lagu pop Melayu, tetapi, ini tidak mewajarkan elemen yang serupa dalam lagu-lagu yang berpaksikan semangat dan motivasi. Jika diberi pilihan, saya lebih gemar mendengarkan Kita Semua Wira, lagu tema CSA Adacemy dendangan Faizal Tahir pada 2023. Bagaimana Ella dengan cemerlangnya membawakan Standing In The Eyes Of
The World (Datuk Wah Idris/Datuk Habsah Hassan); Jaclyn Victor menerusi Gemilang (Aubrey Suwito/Asmin Mudin/Ramli MS) dan Ayu Damit dengan hits Hanya Di Mercu (Aubrey/Habsah)?
Kesemua lagu ini mempunyai jiwa, nilai sentimental dan penulisan kreatif yang berkesan di samping pendekatan psikologi berbalik dalam menaikkan semangat juang pendengar.
Persoalannya, bagaimana Ziana menjentik hati dan memarakkan api semangat perjuangan pendengar tanpa menuntut rintihan yang melebih-lebih?
Saya percaya, selain Fikirkan Boleh (Metropolitan), lagu Gemuruh (Faizal Tahir) antara naskhah yang paling menepati standard untuk lagu-lagu pembakar semangat yang mencakupi kesemua golongan dan usia.
Pun begitu, pencipta lagu dan Ziana mengemudi semula semangat pendengar di rangkap “aku akan terus berjuang, semangat takkan padam, cabaran bukan penghalang, menjadi wira buat tersayang, demi semangatku yang membara” dengan bunyi instrumen yang saya kira agak dramatik.
Ini mengingatkan saya akan lagu runut bunyi The Greatest Showman (2017) iaitu A Million Dream dan This Is Me malah kedengaran sedikit vibes Lebih Indah (Datuk Seri Siti Nurhaliza/Aubrey/Ad Samad).
Meskipun Semangat Wira bukanlah naskhah dalam format yang baharu dan segar kerana sudah tersedia dalam pasaran domestik dan antarabangsa, namun, tidak salah untuk meraikannya sebagai penerus lagu-lagu yang positif.
Cuma, saya akui, ketika sudah lebih satu dekad pendengar masih menanti karya balada baharu daripada Ziana, kehadiran lagu ini menambah lagi kekecewaan pendengar selepas single duet
Waktu (menampilkan Hasif Upin) yang mendapat pertikaian banyak pihak, malah tewas di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38.
Ziana pula tiada iltizam memberi karya balada baharu selepas kali terakhir tampil dengan Pawana (2010), Dingin dan Melara Jiwa (2008), yang membuatkan pendengar terpaksa menunggu waktu yang tidak pasti untuk dia tampil lagi dengan naskhah yang setanding rangkaian lagu hitsnya.











