Ibu bapa Zayn Rayyan disyaki suspek

Ibu bapa Zayn Rayyan disyaki suspek

ZAYN RAYYAN
ZAYN RAYYAN ABDUL MATIIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahanan reman selama tujuh hari terhadap ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dilakukan berdasarkan beberapa perkembangan terbaharu siasatan polis termasuk keterangan mereka yang direkodkan sebelum ini.

Peguam yang mewakili kedua-dua pasangan suami isteri itu, Mahmud Abdul Jumaat berkata, polis telah menahan kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) atau suspek.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita tak boleh buat sebarang spekulasi dan saya memohon semua netizen untuk bersabar dan mendoakan agar keluarga ini kuat untuk menerima ujian ini.

“Ini kerana, mereka masih dalam tempoh reman dan reman ini hanya untuk melengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui di mahkamah di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya belum mengetahui siapa yang bakal dituduh sekiranya siasatan dilakukan polis selesai.

“Apabila siasatan telah dilengkapkan, ia akan dihantar kepada pihak pendakwaraya dan mungkin pada itu kita boleh tahu siapa suspek utama kes ini.

“Reman dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada pukul 6.30 petang oleh keluarganya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×