Hospital swastakurang jururawat

Hospital swasta kurang jururawat

KEKURANGAN jururawat menyebabkan hospital swasta gagal berfungsi dengan baik, manakala pesakit pula terpaksa menunggu walaupun mempunyai duit dan insurans perlindungan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 220 hospital swasta di seluruh negara terus berdepan masalah kekurangan jururawat yang boleh menjejaskan operasi mereka dan industri pelancongan kesihatan di negara ini.

Perkara itu diburukkan lagi apabila Kementerian Sumber Manusia (KSM) belum meluluskan kemasukan 9,200 jururawat dari Filipina dan India.

Langkah itu bertentangan dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah meluluskan kemasukan jururawat tersebut dengan memberi pengecualian termasuk membuka kelayakan pasca asas jururawat luar negara untuk bekerja di hospital-hospital swasta.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, sehingga kini lebih 9,000 jururawat itu tidak dapat dibawa untuk mengatasi kekurangan yang berlaku walaupun pengecualian menggaji jururawat dari India dan Filipina yang bermula 1 Oktober 2023 itu akan tamat pada 30 September ini.

Menurut beliau, kemasukan jururawat tersebut seolah-olah disekat.

Jelasnya, ini menyebabkan negara berdepan dengan masalah kehilangan jururawat dari luar negara ketika jururawat dalam negara berhijrah ke luar negara.

“Mereka mengatakan kita mesti mengulangi temu duga untuk memastikan memang benar-benar tidak ada jururawat tempatan. Ini menyebabkan proses (kemasukan) menjadi lebih rumit.

“Negara lain seperti Singapura dan Australia, mereka menggunakan cara yang lebih ringkas serta menyenangkan. Mereka tahu sekiranya kemasukan pekerja kesihatan itu dilambatkan disebabkan
birokrasi sebegini maka kita akan turut hilang bakat daripada negara luar juga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada Mei lalu, bekas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa KKM bersedia mempertimbangkan pengambilan jururawat dari luar negara bagi membantu sektor swasta mengatasi kekurangan tenaga kerja itu.

Penerimaan surat daripada Pendaftar Lembaga Kejururawatan KKM itu sepatutnya dapat mengurangkan tekanan di hospital swasta hingga 2025.

Mengulas lanjut, Dr. Kuljit berkata, beliau ada memaklumkan kepada Menteri Kesihatan mengenai masalah tersebut bagi melanjutkan pengecualian untuk tempoh setahun lagi dan Datuk Seri Dr.
Dzulkefl y Ahmad mengatakan permohonan tersebut akan dipertimbangkan.

Katanya, kelewatan kemasukan jururawat itu menyebabkan hospital swasta tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Apabila tiada jururawat ini, kita tidak boleh buka wad dan katil, ini menyebabkan pesakit perlu tunggu walaupun mempunyai duit dan insurans perlindungan. Jadi kadang-kadang pesakit itu terpaksa pergi ke hospital kerajaan.

“Kerajaan kena cari satu cara yang inovatif untuk mengendalikan proses ini, tidak boleh terlalu banyak birokrasi sebab pada akhirnya ia hanya menyukarkan proses tetapi menyulitkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, negara berdepan dengan masalah kekurangan jururawat sejak pandemik Covid-19 akibat daripada penutupan sekolah-sekolah jururawat.

“Mereka membuat pengambilan semula mulai 2022 dan 2023, kursus jururawat pula mengambil masa selama tiga tahun, jadi ini menyebabkan berlakunya masalah ketidakcukupan tenaga kerja itu.

“Selain itu, kebanyakan jururawat tempatan lebih gemar bekerja di luar negara kerana pasaran mereka di sana besar,” ujarnya.

Cubaan Utusan Malaysia menghubungi Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong untuk mendapatkan respons mengenai sekatan yang dilakukan oleh Perkeso itu namun mesej melalui aplikasi Whatsapp tidak dibalas dan panggilan tidak diangkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN