PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) mengintai untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, bulan depan.
Setiausaha Agung Gerakan, Loh Kah Yong berkata, hasrat itu turut disuarakan akar umbi supaya Gerakan meletakkan calon dalam PRK pada 6 Julai ini.
Oleh itu, kata beliau, pihaknya akan mengemukakan keinginan itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dijangka diadakan minggu ini.
“Ada suara daripada akar umbi, tetapi apa-apa kita akan melalui Majlis Tertinggi PN untuk menentukan sebab ini (kerusi) penyandang bagi Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Kah Yong berkata, kerusi DUN Sungai Bakap masih dianggap terbuka untuk semua parti komponen PN.
Katanya, ia sebagaimana yang dilakukan dalam menentukan parti dan calon bertanding pada pilihan raya sebelum ini.
“Kalau ikut PRK lepas, kami terbuka kepada semua, maka masing-masing boleh menunjukkan hasrat. Jadi, apa-apa kita tunggu keputusan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi,” katanya. – UTUSAN










