PETALING JAYA: Filem pecah panggung Malaysia, Sheriff: Narko Integriti gagal memikat hati penonton Indonesia setelah seminggu tayangannya di negara itu.
Pengarahnya, Syafiq Yusof berkata, sambutan yang kurang memberangsangkan itu menyebabkan filem yang pada asalnya ditayangkan di 100 panggung dikurangkan secara drastik.
“Filem Sheriff tidak mendapat sambutan di Indonesia. Jadi, banyak tayangan telah diturunkan secara drastik.
“Apa-apapun, saya berterima kasih kepada CGV Cinemas kerana membuka pintu dan memberi peluang untuk filem Malaysia ditayangkan di sana.
“Terima kasih Indonesia,” tulisnya menerusi satu hantaran di aplikasi X, malam tadi.
Sebelum ini, pelakon dan pengarah filem Sheriff diterbangkan ke Jakarta bagi menghadiri malam Gala dan rangka promosi pada 23 Mei lalu.
Bukan itu sahaja, filem yang menceritakan sisi gelap dunia polis ini turut mendapat perhatian daripada pengarah terkenal Indonesia, Joko Anwar.
Sheriff adalah filem Malaysia dengan kutipan paling tinggi untuk tahun ini apabila meraih RM60.5 juta selepas kurang sebulan ditayangkan.
Turut sama menjayakan filem itu ialah Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan. – UTUSAN










