Farid Kamil cepat mengah, sedang kurangkan berat - Utusan Malaysia

Farid Kamil cepat mengah, sedang kurangkan berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Farid Kamil, mengakui cepat mengah terutama setelah berat badannya meningkat sehingga 97 kilogram.

Farid atau Farid Kamil Zahari, 43, diminta menambah berat badan semasa terlibat dalam penggambaran filem terbaharu bertajuk Baran.

“Jika ada yang merasakan saya semakin berisi, itu memang betul. Sebelum ini berat badan saya sekitar 80 kilogram.

“Hari ini berat badan saya 97 kilogram. Pengarah untuk projek filem terbaharu saya (Baran) minta agar saya kelihatan sedikit berisi. Dia tidak mahu badan kelihatan sasa.

“Mahu tambah berat memang mudah, makan sahaja nasi tidak perlu pantang. Tapi ini kali pertama saya seberat ini, memang rasa mengah dan berat,” katanya.

Dalam pada itu, memandangkan proses penggambaran hanya berbaki sebanyak 20 peratus, Farid sedang berusaha untuk menurunkan berat badan ideal.

“Sekarang penggambaran sudah 80 peratus. Saya sedang perlahan-lahan untuk kembali kepada berat asal.

“Sebelum ini badan saya pernah cecah 67 kilogram, itupun selepas menjalani latihan selama sebulan untuk filem Gold,” tambahnya.

Bercerita mengenai perkembangan kehidupan peribadi, pelakon Anak Halal itu mengakui sedang di fasa bahagia dan lebih menghargai keluarga selepas rumah tangganya bersama isteri, Diana Danielle dilanda ujian tahun lalu.

“Saya sebenarnya amat bersyukur dan rasa dirahmati. Saya kini merasai kehidupan yang penuh bahagia.

“Kerjaya seni juga berjalan lancar. Saya gembira dan menghargai apa yang saya miliki,” katanya.

Terdahulu, rumah tangga Farid dan Diana retak kemudian disahkan bercerai pada 10 Ogos 2023. Bagaimanapun, mereka telah rujuk semula sebagai pasangan suami isteri semasa dalam tempoh edah.

Farid dan Diana dikurniakan dua orang anak hasil perkahwinan mereka iaitu Muhammad,11, dan Nur Aurora, 9.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN