PETALING JAYA: Enam individu termasuk pasangan suami isteri dihadapkan di beberapa mahkamah di Johor, Kuala Lumpur dan Kuala Kubu Bharu semalam atas pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan Daesh.
Di Johor Bahru, tiga individu termasuk pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Feesol Haron, 35, dan isteri, Suhaini Sarwan, 46, serta Mohd. Firdaus Kamal Intdzam, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Feesol dan Suhaini didakwa memiliki bahan-bahan berkaitan IS dan perbuatan pengganas di dalam telefon bimbit mereka.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kempas, di sini pukul 1.10 petang dan 1.15 petang, 30 Mei lalu.
Mohd. Firdaus pula didakwa melakukan kesalahan sama di hadapan sebuah kilang di Jalan Perniagaan Setia 6, Taman Perniagaan Setia, pukul 6.15 petang, 30 Mei lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.
Sementara itu, Suhaini berdepan dua lagi pertuduhan, iaitu memberi sokongan kepada IS menggunakan dua akaun media sosial Facebook atas nama Suhaini Sarwan dan Enma Kenma.
Di Mahkamah Sesyen Segamat, seorang penganggur didakwa atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh.
Hasbullah Hassan, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rahimah Abd. Majid, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan bidang kuasa terletak di bawah Mahkamah Tinggi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8, Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Kuala Lumpur pukul 5.50 petang, 27 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Di Kuala Lumpur, seorang pekerja restoran didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memberi sokongan, memiliki artikel dan video serta mengaku sebagai ahli kumpulan pengganas Daesh, bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Muzzammil Mohd. Mohlis, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa beri sokongan kepada kumpulan Daesh menggunakan aplikasi Facebook atas nama Ibn Nuhas dan Telegram atas nama Wilayah Maliziyah (Malaysia).
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pukul 4.50 petang 31 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda dan mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu dirampas, jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki artikel dan video berkaitan Daesh di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Sementara itu, seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan Daesh.
Tertuduh berusia 37 tahun didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










