KUALA LUMPUR: Kedudukan kerusi keenam-enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahliannya masih kekal di kawasan pembangkang di Dewan Rakyat tetapi dipindahkan ke Blok E.
Ia berdekatan tempat duduk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd, Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Kedudukan dan status mereka menjadi tumpuan susulan Bersatu menyerahkan notis pemakluman kekosongan enam kerusi itu kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Khamis lalu.
Bagaimanapun, hari pertama sidang Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Parlimen semalam tidak dihadiri Syed Abu Hussin yang baru pulang dari luar negara.
Katanya, beliau akan memaklumkan perkembangan terkini berhubung kemelut yang dihadapinya bersama lima ahli Parlimen lain.
“Saya tidak hadir hari ini (semalam). Saya akan hadir esok pagi (hari ini) ke Parlimen. Berhubung isu enam ahli Parlimen Bersatu akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan beliau sudah menerima notis mengenai kekosongan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu tersebut.
Katanya, beliau mempunyai tempoh 21 hari untuk menentukan kedudukan enam ahli Parlimen tersebut iaitu sama ada kehilangan kerusi mereka atau sebaliknya.
“Saya baru dapat surat daripada Ahli Parlimen Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee) pada Jumaat lalu. Mengikut undang-undang, saya ada 21 hari untuk mengkaji.
“Insya-Allah apabila saya dapat semua jawapan, saya akan maklumkan kepada media. Mohon bersabar, saya akan maklumkan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pameran seni sempena ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik Malaysia-Romania di bangunan Parlimen.
Sebelum ini, media melaporkan, Johari belum membuat sebarang keputusan berhubung isu berkenaan pada hari pertama persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, semalam.
Persoalan yang timbul itu mencetuskan kemungkinan enam wakil rakyat Bersatu itu berada dalam kedudukan status quo.
Pada masa sama, pihak pembangkang tidak memberikan sebarang tekanan sepanjang sidang berlangsung.
Sebaliknya, pembangkang semalam memberi fokus kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan berkait kes mahkamah dihadapinya ketika bersidang pada Februari dan Mac lalu. – UTUSAN









