EMC labur RM900 juta bina kilang di Pulau Pinang

EMC labur RM900 juta bina kilang di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (kanan) melihat tapak kilang EMC yang akan dibina di PSPN, Pulau Pinang tidak lama lagi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Syarikat peneraju dalam bidang Copper Clad Laminate (CCL) iaitu Elite Material Co. Ltd. (EMC) hari ini mengumumkan hasratnya untuk membina sebuah kilang baharu di Penang Science Park North (PSPN).

Untuk tujuan itu, EMC merancang melabur lebih RM900 juta dan pelaburan besar ini dijangka mampu mengubah industri papan litar bercetak (PCB) di Malaysia pada masa depan.

Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif EMC, Albert Dong, kilang pembuatan CCL itu mewakili komitmen pelaburan mereka dan ia merupakan kilang pengeluaran pertama EMC di Asia Tenggara yang dibangunkan bertujuan meningkatkan daya tahan perniagaan untuk jangka panjang.

“Kami sangat teruja apabila berada di tangga ketiga dunia dalam industri pada 2023. Tetapi, kami lebih teruja untuk memulakan babak baharu ini di Asia Tenggara dengan penubuhan kilang pembuatan CCL kami yang terkini di Pulau Pinang.

“Pelaburan strategik ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen kami terhadap keperluan pelanggan kami,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini. Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Menurut Dong, tapak kilang CCL itu akan merangkumi keluasan kira-kira 5.66 hektar tanah perindustrian di PSPN dan ia dijangka siap menjelang suku pertama 2025, dengan pengeluaran besar-besaran dijadualkan bermula pada suku kedua tahun itu.

“Kami yakin kehadiran kami di Malaysia bukan sahaja memperkukuh industri PCB tempatan, tetapi juga industri semikonduktor kerana kami juga merupakan pengeluar bahan substrat IC,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada EMC kerana memilih Pulau Pinang untuk menempatkan kilang pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.

“Pelaburan strategik EMC ini adalah bukti ekosistem perindustrian Pulau Pinang yang teguh telah mendapat momentum dalam menarik pelaburan daripada pemain terkemuka dalam rantaian bekalan E&E.

“Ini adalah peristiwa penting dalam perjalanan transformasi industri Pulau Pinang dan bukti bagaimana pelaburan strategik utama diterjemahkan kepada limpahan teknologi dan ekonomi,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN