PETALING JAYA: Malaysia disaran mencari solusi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kewangan antarabangsa yang dikuasai Yahudi dan memperkukuhkan kewangan Islam.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, sektor kewangan antarabangsa seperti perbankan dan pasaran modal perlu diakui bahawa ia dikuasai secara langsung oleh yahudi serta Israel.
“Saya berpandangan semua pihak perlu berfikiran secara rasional, jangan marah nyamuk tetapi kelambu pula dibakar. Jangan jadikan semua ini sebagai sentimen politik, kita kena fikir tentang masa depan negara.
“Daripada mewujudkan perasaan tidak senang dan gelisah, lebih baik kita cari solusi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kewangan antarabangsa yang dikuasai oleh yahudi dan memperkukuh kewangan Islam,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia menolak sebarang kerjasama dengan syarikat yang ada kaitan secara terus dengan Israel atau berpangkalan di negara tersebut.
Perdana Menteri berkata, pentadbirannya sehingga kini tetap tegas dengan pendirian tidak membenar serta membatalkan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari Israel untuk beroperasi di negara ini.
Namun katanya, kerajaan tidak mempunyai keupayaan untuk membatalkan kerjasama syarikat asing yang mempunyai kaitan dengan Israel kerana dikhuatiri boleh menjejaskan ekonomi negara.
Menurut Dr. Baharom lagi, bagaimanapun negara bakal berhadapan dengan krisis ekonomi sekiranya membatalkan kerjasama dengan seluruh syarikat asing yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Sependapat dengan itu, Pakar Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, negara tidak boleh mengambil tindakan drastik memutuskan hubungan.
“Ada sesetengah produk dan industri yang disediakan, tidak mempunyai alternatif setakat ini. Sebagai contoh Google yang ada pangkalan di Israel, itu membuat kita tidak mahu ada hubungan dengan mereka tetapi kita pula tiada alternatif lain untuk pencarian maklumat dalam internet.
“Apabila kita tidak mempunyai alternatif, maka jika kita nak buat aktiviti perniagaan dan perdagangan ni akan sukar. Jika kita mempunyai ketidakpastian dalam polisi serta dasar pula akan menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur ke dalam negara,” katanya. – UTUSAN









