Dua ahli sindiket Trojan Spymax diekstradisi ke Singapura

Dua ahli sindiket Trojan Spymax diekstradisi ke Singapura

Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengekstradisi dua rakyat Malaysia ke Singapura semalam selepas disyaki menjadi ahli satu sindiket penipuan antarabangsa dikenali sebagai Trojan Spymax.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kedua-duanya ditahan di Pulau Pinang dan Johor pada Rabu lalu.

Beliau berkata, penahanan ke atas lelaki berusia 27 tahun dan 48 tahun dilakukan dalam satu operasi oleh pasukan JSJK dan Polis Antarabangsa (Interpol) Bukit Aman bersama Pasukan Polis Singapura (SPF).

“Kedua-duanya disyaki ahli sindiket Trojan Spymax yang terbabit secara langsung dengan sindiket penipuan antarabangsa yang giat melakukan penipuan di rantau Asia khususnya di Singapura.

“Dua individu yang ditahan itu berperanan sebagai penjual malware (perisian hasad) dan pengurus sewaan pelayan yang menempatkan fail APK (Android Package Kit),” katanya di sini.

Katanya, tiga telefon pintar pelbagai jenama, satu pasport, satu kad pengenalan dan satu jam tangan dengan anggaran nilai rampasan RM6,000 turut dirampas.

Kata beliau, hasil siasatan, sindiket ini didapati menawarkan jualan produk dan perkhidmatan melalui media sosial Facebook, Instagram dan seumpamanya.

“Mangsa yang berminat membeli produk akan diberikan pautan fail APK yang perlu dipasang ke telefon mereka sebagai sebahagian daripada proses pembelian,” jelasnya.

Ramli berkata, operasi ini adalah hasil kerjasama PDRM dan Polis Singapura selama hampir satu tahun dalam mengenal pasti, mengumpul dan mengesahkan data identiti ahli-ahli sindiket yang berselindung di sebalik teknologi internet serta komputer dari beberapa negara berbeza.

“Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Interpol untuk diekstradisi ke Singapura bagi tujuan pendakwaan.

“Melalui tangkapan ini, JSJK percaya ia telah melumpuhkan infrastruktur dan gerak kerja sindiket malware APK ini di rantau ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN