DLP: JPN terima maklum balas baik susulan sesi libat urus

DLP: JPN terima maklum balas baik susulan sesi libat urus

FADHLINA Sidek (dua dari kanan) bersama Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Mohd. Iskandar Othman (dua dari kiri) ketika majlis merasmikan Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di Bertam Souk Water Park, Kepala Batas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menerima maklum balas yang sangat baik susulan sesi libat urus bersama semua pihak terlibat berhubung isu bantahan pengendalian Program Dwibahasa (DLP) di beberapa sekolah di negeri itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sesi libat urus itu secara dasarnya bertujuan memahami keperluan semua pihak mematuhi garis panduan membuat penegasan semula tentang dasar memartabatkan Bahasa Melayu serta mengukuhkan Bahasa Inggeris.

“Penegasan yang kita tegaskan adalah, garis panduan itu mesti dipatuhi. Maka, sebab itulah sesi libat urus sangat penting dan pasca isu tersebut sebenarnya, JPN (Pulau Pinang) telah sekali lagi turun serta memberikan penjelasan.

“Malah, sesi libat urus tersebut juga merupakan proses berterusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di Bertam Souk Water Park di sini, hari ini.

Fadhlina mengulas mengenai perkembangan berhubung Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang yang meminta Kementerian Pendidikan menghormati kehendak ibu bapa serta kembali kepada hasrat asal DLP dalam Sains serta Matematik.

Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina memberitahu, siasatan berhubung isu seorang murid didenda berdiri sehingga tiga jam di tengah panas di sebuah sekolah di Ampang, Selangor baru-baru ini sudah dilaksanakan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Katanya, di peringkat JPN, siasatan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta tatacara kerja yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Jadi, sebab itulah saya kata siasatan selanjutnya adalah di peringkat pihak berkuasa iaitu polis. Jadi, kita serahkan kepada mereka (polis) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam kejadian itu, murid terbabit yang berusia 11 tahun dikatakan mengadu sakit kepala dan matanya juga bertukar merah setelah dijemur di tengah panas sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang dan dikatakan bakal memegang status Orang Kurang Upaya (OKU).

Susulan itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Gerakan Guaman Rakyat (Gegar) menggesa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat bertegas selain mahu Fadhlina mengenakan tindakan yang sewajarnya atas perbuatan tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×