Diesel Malaysia masih murah berbanding Thailand

Diesel Malaysia masih murah berbanding Thailand

KENDERAAN dari Thailand tidak banyak kelihatan mengisi diesel di sekitar Padang Besar.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri tidak menolak kemungkinan penyeludupan diesel di sempadan terus aktif kerana harga terkini bahan api itu masih murah berbanding Thailand.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, jika dilihat pada harga apungan diesel, Malaysia masih antara negara yang rendah di dunia termasuk berbanding negara jiran Thailand dengan beza antara 80 sen sehingga RM1.

Justeru, menurut beliau, KPDN terus komited melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan menerusi Op Tiris 3.0 selepas penyasaran subsidi tersebut.

“Menerusi pelaksanaan ini, kita menjangkakan mungkin masih ada kegiatan penyeludulan diesel kerana dilihat pada harga apungan itu, Malaysia masih antara yang terendah,” katanya.

Harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula semalam.

Kenaikan sebanyak RM1.20 seliter itu, bagaimanapun boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.

Penyasaran subsidi diesel ini dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS).

Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi sekitar kawasan ini mendapati, jumlah kende­raan asing yang melakukan pengisian diesel berkurangan, kemungkinan disebabkan pe­nguatkuasaan.

Sebagai rekod, dua stesen mi­nyak tanpa subsidi untuk warga asing turut beroperasi di negeri ini iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian.

Sementara itu, seorang pengusaha kedai runcit dikenali sebagai Ehsan, 54, berkata, keadaan di beberapa stesen minyak sekitar di sini dalam keadaan terkawal susulan pelaksanaan penyela­rasan subsidi oleh kerajaan itu.

Katanya, dapat dilihat kenderaan asing juga tidak banyak membuat pengisian diesel di stesen-stesen minyak berban­ding daripada hari kebiasaan.

“Situasi ini berkemungkinan disebabkan oleh penguatkuasaan ketat dilakukan pihak berkuasa pada hari pertama pelaksanaan penyasaran subsidi diesel tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN