KUALA LUMPUR: Institusi perbankan perlu mendidik pengguna celik digital seiring dengan transformasi perkembangan digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebimbangan terbesar dalam memacu pertumbuhan dan transformasi digital adalah jurang di antara rakyat.
Malah katanya, pendekatan canggih, digital serta kecerdasan buatan (AI) juga kadangkala menggerun dan menakutkan masyarakat.
“Ini tanggungjawab Boost Bank. Cukup enam bulan, saya nak lihat laporan ikhtiar istimewa Boost Bank. Laporan itu akan dibentangkan oleh menteri digital di Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Boost Bank di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, pelancaran Boost Bank merupakan satu lonjakan digital yang memanfaatkan rakyat.
Katanya, ia turut memberi kepada rakyat memahami transformasi digital.
Beliau turut menyeru Boost Bank, Axiata Group Bhd. dan RHB Bank mengadakan latihan kepada belia bagi memantapkan mereka seiring perkembangan digital.
“Jangan terlepas usaha untuk terus melancarkan program latihan kepada anak-anak tenaga baharu supaya mereka bukan sekadar jalankan kerja profesion tetapi pantas mengikuti perkembangan semasa ,” katanya. -UTUSAN










